19 August 2013

Kematian dan peringatan.

Bismillahirrahmanirrahim,

Semalam pakcik aku meninggal dunia setelah beberapa bulan menderita kanser paru-paru. Dalam tempoh kurang dari sebulan 2 orang adik abah meninggal dunia. Sebelum ni adik abah lelaki yang bongsu juga meninggal dunia beberapa hari sebelum Eidulfitri 2013 akibat sakit. Takziah untuk seluruh ahli keluarga arwah dan semoga mereka diletakkan dikalangan orang yang beriman,amin.

Kematian sentiasa menjadi satu peringatan terbaik untuk kita yang masih hidup. Masih bernafas dan berpijak di bumi Allah dengan kesihatan yang baik. Bila melihat seorang lagi insan dipanggil Allah kembali kepadaNya rasa keinsafan bahawa apa yang kita miliki sekarang, suami, isteri, anak & harta semuanya hanya sementara. Sangat sementara. Semuanya akan kita tinggalkan. Kita hanya bawa amalan kebaikan dan dosa di bahu kita. Pasrah menanti sama ada nasib kita ke syurga atau neraka.









Tanpa sedar setiap hari fokus dan pemikiran kita menumpukan kepada bagaimana mahu hidup lebih baik. Bagaimana mahu mendapatkan gaji yang lebih banyak dari pekerjaan serta pengajian tinggi, bagaimana mahu beli rumah yang lebih besar, beli kereta impian yang lebih selesa, dapatkan hubungan insan yang kita suka, tingkatkan taraf hidup keluarga & anak-anak dan sebagainya. Pusing-pusing buat benda yang sama. Akhirnya sebahagian besar hayat kita dihabiskan mengejar kesenangan dunia.

Aku terbayang, bagaimana rasanya malam pertama kita semua di dalam kubur berseorangan 7 kaki bawah tanah. Gelap, lembab, basah, terikat dgn kain kapan, mati. Anak, isteri dan saudara mara yang bersedih dah berada di rumah. Seminggu, 3 bulan, 1 tahun, 3 tahun mungkin rasa sedih tu dah hilang & mereka hidup seperti biasa. Kita tetap berseorangan. Tiada lagi kemegahan status, jawatan tinggi dan nama yang dihormati orang untuk dibanggakan. Satu-satunya perkara yang menggembirakan kita ialah bila amalan baik kita menyelamatkan kita dari siksaan kubur sementara menunggu hari kiamat. Subhanallah.

Namun bila kita menilai dan muhasabah aktiviti harian kita, kita sering terlupa soal kematian ini. Lupa kita akan merasai mati. Kita sangka akan mati pada usia tua walhal ramai sahabat-sahabat kita yang seusia dan lebih muda ramai telah mati lebih awal. Kemalangan dan sakit bila-bila masa Allah boleh takdirkan terjadi kepada kita. Kita semua tak tahu bila masa kita. Boleh jadi esok, minggu hadapan & bulan depan. Semua rahsia Allah. Mudah-mudahan kematian insan lain menjadi peringatan terbaik untuk kita agar kembali kepada Allah. Wallahualam



2 comments:

IjanKahar said...

Semoga kita semua akan sentiasa mengingati mati dan berusaha mencari redha Allah selagi berada dimuka bumi ini..

Acaii Jawe said...

Ijan Kahar - Salam sahabat, amiin. Mudah2an kita sentiasa diingatkan allah akan kematian yang pasti berlaku kat kita ni.