23 December 2014

Terima kasih cikgu.

Bismillahirrahmanirrahim.





Petang ini aku saja melawat blog yang dah lama tak update ni.

Cuti persekolahan 2014 dah nak habis.

Tak sempat aku nak ucapkan selamat bercuti kepada semua guru-guru yang bertungkus lumus mendidik anak bangsa sepanjang tahun. Muda-mudahan mereka lebih bersemangat untuk mengajar selepas berakhir cuti persekolahan tidak lama lagi.

Sebagai suami seorang guru aku memang tahu dan hargai pengorbanan seorang guru.

Balik lambat ke rumah.

Siapkan kerja sekolah yang banyak.

Risau pasal prestasi pelajar.

Hal disiplin sekolah.

Kursus itu ini yang perlu dihadiri.

Itulah rutin seorang guru saban tahun. Tahun depan akan ulang benda yang sama dengan muka-muka yang berbeza.

Tapi.

Bagi orang yang ada passion dan matlamat jelas menjadi seorang guru, pasti ada motivasi yang tinggi untuk terus mengumpul pahala akhirat untuknya menuju ke syurga.


Wallahua'lam.


08 October 2014

Cerita Hari Raya Korban 2014

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah dapat aku menulis lagi kat blog ni. Tahun ni raya haji aku balik ke Kampung Banting pula. Tahun ni raya pertama korban sembelih 9 ekor lembu. Ada juga yang buat persendirian pada hari kedua tapi aku tak pasti jumlahnya berapa sebab aku dah balik ke KL.

Rasanya biarlah gambar yang berbicara tentang suasana raya di kampung aku :








Sebenarnya ada beberapa perkara yang kena perbaiki untuk melakukan ibadah korban sama ada kat tempat aku ataupun kat tempat lain.

  1. Pemberian daging, tulang, hati, limpa kepada orang yang tolong lapah daging korban sebagai upah tenaga kerja sebenarnya tidak dibenarkan dalam Islam. Larangan tentang itu disebut dengan jelas dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim. Tapi ia masih lagi dilakukan oleh hampir semua orang yang melakukan ibadah korban di negara kita.
  2. Bila dah tolong, masing-masing harapkan mendapat bahagian lebih daripada lembu/kambing untuk dibawa ke rumah masing-masing. 
  3. Pemberian daging korban pula hanya dilakukan untuk daging sahaja. Walhal, dalam hadis disebut pelana yang ada kat atas unta korban pun disedekahkan juga. Bahagian dalam seperti tulangpun sepatutnya diagihkan sama seperti daging.
  4. Perkara yang agak menyedihkan aku ialah bila orang bangla dan Indonesia yang sama-sama menolong melapah ada yang langsung tak berikan bahagian mereka. Atau bagi dalam kuantiti yang kecil padahal orang kita yang lapah dapat berkilo-kilo daging korban yang makan sampai bermingu-minggu tak habis. Itukah cara korban kita yang dituntut agama?
  5. Setiap tahun ustaz ingatkan perkara yang sama. Masjid yang penceramah dan khutbah cerita tentang perkara inipun masih lakukan benda sama. Bila nak berubah?
  6. Jadi, bila dah tahu mulakan dengan diri kita. Ubah tradisi. Ikhlaskan diri bila menolong melapah lembu korban. Kita hanya mendapat bahagian yang layak dari bahagian korban seperti orang lain yang tidak menolong. 
  7. Jika tuan punya korban, berikan daging lebih sebagai hadiah ia perlu atas dasar kawan, sahabat dan bukan sebab kita menolong lapah lembu mereka. Kerana perbuatan itu kata majoriti ulama' samalah seperti menjual beli tenaga kita untuk daging korban dan diharamkan jual beli seperti itu. 
  8. Mungkin pada masa akan datang lebih mudah melakukan korban di rumah masing-masing dengan ditolong ahli keluarga dan jiran terdekat. Sama macam di belah Pantai Timur dan utara. Lebih mudah dikawal. 
  9. Kalau nak lagi mudah, boleh suruh pusat sembelih untuk sembelihkan binatang korban kita. Kemudian hantar bahagian yang dah dipotong besar ke rumah kita.  Kemudian kita lapah dengan adik beradik di rumah. Tak perlu buat hari pertama, buat hari kedua dan ketigapun tidak mengapa. Yang penting ikut sunnah dan kaedah yang betul dalam beribadah.
  10. Ibadah korban ada peraturannya yang ditentukan syarak. Kalau nak diterima di sisi Allah sebaiknya ikutlah saranan dan cara yang Rasulullah saw buat.
Wallahua'lam.


28 August 2014

Sembelih dan cabut bulu ayam

Bismillahirrahmanirrahim


Sembelih ayam dan cabut bulu ayam bersama wifey

Masa kecil dulu, kalau nak makan ayam aku kena kejar bersama adik aku. Rasanya sampai aku nak sekolah menengah baru aku dapat rasa ayam ternak macam yang kita semua makan sekarang. Aku ingat lagi pertama kali makan ayam beli tu, aku rasa pelik sebab dagingnya lembut sangat berbanding ayam kampung.

Ayam ni kalau kena kejar dia punya lari boleh tahan laju. Tapi siapa yang biasa dia boleh ikut pace dan sampai satu tahap ayam ni akan kepenatan. Masalahnya masa tu kitapun dah keletihan. Jadi sama-sama slow lari. Tapi bestnya kalau ayam ni jumpa tempat menyorok dia mesti menyorok.

Tapi biasanya ayam ni akan sorokkan kepalanya je. Badannya terdedah kat luar. Jadi senanglah nak tangkap. Lepas tangkap, abah sembelih, pastu mak letak air panas dalam besen dan kitorang adik beradik kena cabut bulu ayam pulak. Kalau tak bersih memang kena marahlah dengan mak.

Part cabut bulu ni biasanya part paling malas dulu masa kecik. Tapi aritu masa sembelih ayam, wife yang baru pertama kali berpeluang cabut bulu ayam. Jadi excited lebih dia.

Ayam kampung ni dagingnya lebih manis dan agak liat. Kalau ayam ternak biasanya 34 hari atau kurang dah boleh sembelih. Tapi kalau ayam kampung liar masa tu dia masih kecil dan bergantung kepada mak dia untuk makan. 2 bulan lebih baru dewasa untuk disembelih.

Aku rasa masa hadapan memang takde lagi aktiviti cabut bulu ayam ni oleh budak2 muda. Semua ayam ternak ataupun telah diproses. Sayangnya. 

Cerita raya dan puasa 2014

Assalamualaikum wbt

Blog dah bersawang. Tiba masa untuk update. Sebenarnya nak cerita pasal aidilfitri tapi sekarang dah masuk bulan Zulkaedah :) Cukuplah aku gambarkan Ramadan dan Aidilfitri aku tahun ni dalam beberapa gambar ni.


Berbuka puasa bersama Geng Jawe di UPM, Serdang
Pakcik aku (abg mak) meninggal dunia ketika bulan Ramadan


video
Video jalan balik kampung di Bagan Datoh :)

Kenduri di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh dan sambut raya kat sana
Join perhimpunan aman Gaza di Dataran Merdeka


Aku rasa sambutan raya tahun ni sederhana tapi rasa sangat seronok. Penuh kegembiraan, kebahagiaan, keceriaan, ukhuwah terjalin dengan lebih erat, kemaafan, kesederhanaan dan paling aku suka dapat istiqamah dalam beberapa perkara selepas berakhirnya Ramadan.

Mohon maaf zahir batin sekiranya terdapat perkataan, perbuatan dan tulisan yang menggguris hati dan peraaan sepanjang perkenalan. Aku hanya insan biasa yang banyak lakukan dosa dan berusaha jadi muslim lebih baik dan bermanfaat kepada ummah, insyaallah. Wallahua'lam.

30 June 2014

Ramadan Datang Lagi

Bismillahirrahmanirrahim




  1. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Kita semua diberi rezeki oleh Allah untuk menemui bulan Ramadan lagi. Berapa ramai sahabat dan saudara mara kita yang tahun lepas masih lagi menyambut Ramadan tetapi telah menemui pencipta. Subhanallah!


  2. Kita dah masuk dan keluar dari Ramadan berpuluh tahun. Tapi kenapa masih tidak menjadi muslim yang lebih baik? Tidak istiqamah berbuat ibadah? Kenapa Ramadan gagal mendidik hati dan jiwa kita?


  3. Persoalan ini samalah seperti orang yang pergi menunaikan haji dan umrah beberapa kali tetapi masih gagal menjadikan dia muslim yang soleh dan solehah.


  4. Makkah dan Madinah itu dah dirahmati, pahalanya berganda-ganda, Allah janji pelbagai kebaikan bagi yang sampai ke sana. Ia sama dengan Ramadan yang digandakan pahala sunat, bersedekah dan amalan wajib lain. Bukan tempat dan masa yang jadi persoalan, hakikatnya jiwa kita sendiri yang kena perbaiki.


  5. Semua orang masuk ke dalam Ramadan sama ada mereka muslim, non muslim, pendosa, ahli maksiat, alim ulama' dan sebagainya. Tetapi hanya orang yang benar-benar mahu mengambil kelebihan dan berubah sahaja yang berjaya mengambil kelebihan tersebut.


  6. Kalau tidak, kita hanya melalui Ramadan sama seperti tahun-tahun lepas. Berpuasa, berbuka puasa, tarawikh, baca Quran sikit dan ulang benda sama setiap hari tanpa penghayatan di hati dan sampai ke jiwa kita.


  7. Hasilnya, kita akan jadi seperti diri kita sebelum masuk bulan Ramadan ini. Sama sahaja.


  8. Sementara semangat masih kuat awal Ramadan ni, ayuh ubah cara kita melihat Ramadan. Lihatnya sebagai peluang kita bertaubat, tambah pahala, niatkan untuk istiqamah dan usaha berubah kepada lebih baik.


  9. Tetapkan matlamat yang jelas. Contoh aku nak tadabbur dan qatam quran, nak solat berjemaah takbir pertama dengan imam setiap solat fardhu, nak sederhana dalam berbuka puasa dsb. Jelas, tepat dan boleh dicapai.


  10. Insyaallah, Allah akan bantu sepanjang perjalanan tersebut. Semoga kita semua keluar dari Ramadan dengan dosa-dosa yang telah diampunkan Allah. Wallahua'lam.


09 May 2014

Beli Nombor Plat Kenderaan JPJ

Bismillahirrahmanirrahim



Minggu ni aku dapat ilham nak beli nombor plat kenderaan walaupun tak ada kenderaan apa nak dibeli lagi. Tiba-tiba pagi tadi aku dah beli nombor kat JPJ, Padang Jawa Klang. Ajaib.

Sebenarnya aku lebih berkenan dengan nombor pendaftaran KL yang bermula dari 'W' tapi sejak ada abjad belakang tu aku dah tidak minat. Penuh nampak kat papan plat kenderaan. Contoh WA1234A. Punyalah panjang. Pilihan terbaik aku pilih nombor pendaftaran Selangor.

Kalau korang teringin nak beli nombor plat pilihan yang ada makna dan ada sentimental value kepada korang, aku berikan sedikit panduan. Mudah-mudahan boleh sedia lebih awal.

Artikel ini sesuai dan valid untuk permohonan pada tahun 2014. Mungkin pada masa hadapan prosedur ini akan berubah.

Sebelum itu, korang juga boleh menggunakan ejen yang cas RM200-RM500 untuk pilihkan nombor korang. Ia menjimatkan masa. Diaorangpun cari makan dengan cara itu. Ada yang complaint mahal, tak adil dan sebagainya tapi jujurnya aku tiada masalah. Kalau tak kisah nak pakai nombor apa masa beli kenderaan, jurujual akan uruskan semuanya by default.


Ada 3 kaedah korang nak memilih nombor plat pilihan kita sendiri.

1. Melalui Tender
2. Beratur kat kaunter tunggu running number
3. Jumpa Pengarah JPJ (Kelulusan Khas)


Aku terangkan satu persatu secara ringkas.

1. Melalui Tender.

Contoh membeli nombor plat melalui tender

- Melalui tender ni biasanya kalau korang nak bid nombor yang bakal keluar untuk dipadankan dengan abjad. Contoh sekarang (9 Mei 2014) abjad kat Selangor BMQ. Tapi tender untuk nombor cantik pada abjad BMS dah ditutup pada 8 Mei 2014 (semalam). Plat BMR pun tak keluar lagi.

- Jadi kena alert pengumuman di PORTAL JPJ bila tarikh buka dan tutup tender nombor ni. Korang boleh pilih nombor negeri lain dan hantar kat mana-mana cawangan JPJ tapi kena pastikan sampul surat tu sampai ke sana sebelum tarikh tutup.

- Jadi kalau masuk tender nombor ni, korang bolehlah pilih plat seperti BMS8, BMS9, BMS888, BMS1 dll mengikut kemampuan. Siapa bida paling tinggi akan menang.

- Sudah tentu ada prosedur. Setiap nombor cantik, ada harga minimum bid. Kena bayar separuh guna wang pos sebagai deposit. Kalau tak berjaya tender, duit deposit akan dipulangkan (dengan pos), isi borang M.V.10, bayar yuran pendaftaran (RM10) dan masukkan sampul dalam peti tender. Pastu tunggu dan berdoa korang menang.

- Tunggu 2 minggu - 1 bulan, keputusan tender yang berjaya atau tidak akan keluar dan diberitahu.

- Untuk maklumat lanjut tentang kaedah ini boleh pergi sini : PERMOHONAN TENDER NOMBOR PLAT KERETA.

- Biasanya orang yang tender ni, dia akan bersedia nombor plat yang dia suka. Baru beli kenderaan. Mereka lebih bersedia berbanding dapat ilham macam aku ni. Contoh diaorang tunggu nombor cantik seperti BMX, BMW, WWW, WVW dll. Kalau keluar nombor cantik ni beraturnya pun lebih panjang di JPJ.


2. Beratur Tunggu Running Number


Running number kat kaunter. Gambar Ehsan Google

- Ini kaedah biasa yang digunakan oleh runner atau orang yang berminat nak beli nombor plat kenderaan dengan harga murah RM210.

- Sebelum pergi korang kenalah check berapa nombor kenderaan sekarang : CHECK NOMBOR PLAT TERKINI SELURUH NEGARA

- Kalau korang nak pilih nombor BMQ 1991 kenalah datang bila nombor tu belum keluar. Kalau running number tu dah BMQ 8000, korang menangis camna pun takkan dapat nombor 1991 tu sebab orang lain dah register.

- Jadi kenalah tunggu next abjad keluar. Mungkin bulan depan. Jadi benda ni kena perancangan rapi. Rancang untuk dapat nombor pendaftaran kenderaan, tempoh kelulusan loan, tempoh masa kenderaan ready dsb.

- Kalau korang nak beli kenderaan tahun depan tak payahlah beli sekarang konon nak nombor cantik. 3 bulan tak register kenderaan nombor tu terbatal.

- Kaedah ni kena isi borang M.V.10A (amik kat kaunter atau download kat portal JPJ) dan bawa IC je. Kalau bertuah dapat nombor yang kita nak dengan harga RM210 sahaja.

- Kalau running number tu contoh BMQ 2000-4000 korang bolehlah dapat dengan harga RM210. Kalau korang nak mintak nombor BMQ 9999 (out range) maka kena tambah lagi RM100.

- Ataupun korang main 'guessing game' dengan petugas kaunter tu kalau nak nombor lama. Dia takkan bagitau nombor yang available. Korang cakaplah nombor apapun. Kalau ada, dia bagi. Kena ingat belakang korang ada ramai menunggu dengan jelingan tajam.

- Ringkasnya : Amik nombor giliran -- Bila dipanggil -- Bagitau nombor yang kita nak -- Dia check sama ada nombor tersebut masih ada lagi (sediakanlah 10 nombor, jangan baru nak fikir) -- Kalau available bayar RM210 -- Nombor tu jadi milik kita -- Bayar kat kaunter bayaran -- Dia bagi resit --Bagi kat salesman kereta/motor. End.


3. Jumpa Pengarah (Kelulusan Khas)

- Sebab namanya kelulusan khas sudah tentu ia berbeza. Kena juga isi borang M.V.10B (ada kat kaunter/download) dan cakap kat pakcik guard nak terus jumpa Pengarah.

- Risikonya : Kita tak tahu availability dia. Kalau dia cuti memang takkan ada orang boleh gantikan dia. Kena guna cara biasa di kaunter.

- Kelebihannya : Kita tak bersaing dengan ejen-ejen kat luar sebab JPJ takkan bagi ejen tu masuk dalam jumpa Pengarah. Ia hanya untuk kenderaan kita sendiri. Kalau untuk isteri/adik beradik boleh diterima lagi bergantung budi bicara. Boleh pilih nombor lama-lama yang lawa yang masih available. Juga kena dah sedia nak nombor apa.

- Kelemahan dia : Kena beratur kalau ada ramai orang. Dia boleh tentukan nak amik orang ataupun tidak sebab diapun ada kerja lain. Bukan nak layan korang je. Bayarannya start RM310. Dia juga boleh cas berapa dia nak :) Kalau dia cakap RM700 kenalah bayar.

- Kalau bertuah dapat nombor cantik dengan harga jauh lebih rendah dari orang jual nombor plat tu.

- Kalau korang kaya bolehlah beli nombor plat kat sini. Tengok sendiri berapa harganya : BELI NOMBOR PLAT

Kelulusan yang aku dapat pagi tadi. RM310 untuk nombor 8*8.


Kesimpulan


1. Aku pilih jumpa pengarah tu. Tunggu dalam 15 minit je. Siap borak-borak pasal zakat dan tanya sikit-sikit keluarga dia kat Kedah. Pastu aku dapat nombor 8*8. Nombor 3 digit yang diapit nombor 8. Kalau beli kat luar aku tengok lebih RM3,000 harganya :)

2. Tapi dia akan pilih availability kat abjad lamalah. Tak kisahlah mana yang ada.

3. Contoh korang pilih nombor 666. Dia check yang available cuma nombor BGD666. Terpulanglah korang nak ke tak. Bagi aku tak kisah sangat. Ada kereta mewah pakai nombor lama seperti KT1, DAD1, L7 dll yang harga cecah ratusan ribu. Lagipun abjad tu sekejap sahaja ketinggalan dan tak relevan.

4. Semua nombor yang korang dapat melalui cara di atas ni perlu didaftarkan atas kenderaan nama korang dalam tempoh 3 bulan. Selepas itu, nombor tersebut terbatal dan dibuka/dilelong kepada orang lain. Duit pun burn lah.

5. Korang juga dilarang keras menjual nombor tersebut kepada orang lain. Sebab nama korang dah masuk dalam sistem JPJ.

6. Aku harap info ni membantu sikit. Ini sekadar info yang aku dapat sepanjang berurusan di JPJ  tadi dan banyak bertanya kat orang kiri-kanan dan borak-borak ngan pakcik yang jaga nombor.  Akukan peramah orangnya. Ini situasi di JPJ Padang Jawa. Tempat lain aku rasa sama tapi mungkin ada berbeza sikit.


Kalau ada pembetulan aku akan edit insyaallah. Wallahua'lam.



Nota kaki : Sebelum aku dapat info ni aku tengok ramai update dan info JPJ kat blog dan forum. Tapi tiada yang lengkap dan buat aku keliru masa baca. Ni salah satu usaha nak bagi pencerahan serba sedikit. Supaya korang tak membazir sangat beli nombor cantik harga diluar kemampuan.


Wassalam.


06 May 2014

Perginya seorang seniman : Aziz Sattar

Bismillahirrahmanirrahim


Pagi tadi usai solat subuh, aku terbaca berita dari akbar online tentang perginya seorang seniman Aziz Sattar yang dijemput Allah pada usia beliau 89 tahun akibat sakit jantung.

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa beliau yang lalu, rahmati dan mengasihi arwah.

Zaman membesar dahulu memang tidak lari dari melihat dan berhibur dengan filem-filem arwah bersama P.Ramlee. Keletahnya dan lakonan yang menghiburkan orang ramai mudah-mudahan menjadi bekalan kebaikan untuknya.

Masa breakfast pagi tadi bersama wife sebelum pergi kerja, aku lihat wajahnya dalam-dalam. Dia tak perasan sebab tengah tunduk membaca buku. Tiba-tiba terdetik dalam hati, alangkah ruginya kalau hidup kita dihabiskan untuk mengejar dunia yang tidak berkesudahan.

Tidak salah kita mengharap sesuatu yang belum kita perolehi. Tetapi apa yang kita ada ni sebenarnya sudah melebihi harapan kita.

Betapa besar nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita yang belumpun kita bersyukur. Tapi kita sering kecewa bila gagal mendapatkan nikmat yang lain.

Terima kasih Allah atas segala nikmat yang diberikan. Keluarga yang bahagia, pekerjaan yang halal, kesihatan yang baik, kebahagiaan dan ketenangan dalam hati.

Kita hidup ini tidak lama. Bila-bila masa je Allah tarik pelbagai nikmat dari kita. Anak, isteri, suami dan harta semua bukan milik kita. Allah beri semua itu sebagai nikmat dan juga ujian.

Adakah dengan adanya nikmat itu kita makin dekat dengan Allah ataupun main jauh dari agama? Tepuk dada dan tanya iman kita.


Wallahua'lam.


04 March 2014

Bercuti di Cherangin Hills Resort, Janda Baik, Pahang

Bismillahirrahmanirrahim.

Pada 15 Februari 2014 lepas, aku dan wifey gi jalan-jalan kat Cherangin Hills Convention & Spa Resort di Janda Baik, Pahang. Jujurnya ni baru pertama kali aku naik ke Janda Baik, Pahang walau selalu lalu masa pergi ke pantai timur.

Sebenarnya kitorang dapat offer bilik murah daripada sahabat baik aku Cot yang ada lebihan bilik ketika mengadakan kursus ofisnya. Sebab akupun takde job minggu tu jadi pucuk dicita, ulam-ulaman, dapatlah bermalam kat sana dengan separuh harga:)

Aku cerita melalui caption gambarlah. Semua gambar unedited guna iPhone 4s

Kawasan wajib ambil gambar bila aku lalu AKLEH. Lalu sini sebab nak elak jammed di MRR2 dari Bukit Jalil


Laluan naik ke Janda Baik. Banyak juga geng rider konvoi ke sini. Geng motor besar ramai.  Mungkin sebab laluannya bengkang bengkok.

Jalan tepi laluan ke atas Janda Baik

Basically laluan ke Cherangin Hills Resort ni senang je. Sebab tak banyak simpang dan laluannya terus je dari Genting Sempah ke Pekan Janda Baik. 

Sampai kat simpang berhampiran masjid ada signboard ni dan terus naik bukit ke arah resort tersebut.
Ok, ni pemandangan dari atas resort tersebut. Agak tinggi kawasan ni berbanding kawasan kampung di bawah sana.

Otw naik ke atas nampak pondok guard ni

Camnilah rupa bentuk Cherangin Hills Convention & Spa, Janda Baik. 

Dari kawasan lobi nampak pemandangan cantik camni. 

Kawasan ni bertentangan dengan kawasan lobi tadi.

Kawasan bilik. Bilik sini selesa dan harganya berpatutan. Rasanya tak sampai RM200 untuk satu malam. Berbaloi untuk hotel taraf 3 bintang yang masih baru ini.

Ni tarikan utama kat sini sama ada kanak-kanak atau bapak budak:)

Belah petang sikit memang ramai mandi kat sini bawa anak-anak. Meriah!!

Kalau nak jalan2 sebenarnya takde banyak tempat sangat. Ada air terjun tapi kena bawa orang kampung nak pergi sebab jauh ke dalam hutan. Bahaya kalau pergi bersendirian.

Tapi sepanjang jalan ada sungai jernih yang boleh buat mandi manda. Kawasan ni 5 minit je dari resort tadi kat tepi jalan.

Kawasannya bersih dan tenang. Orang mandi mandapun tidak terlalu ramai walaupun masa ni hujung minggu pada waktu tengahari.

Haaa, ni lah jalannya tepi sungai tadi. Jalan utama, kecil je kawasannya sebab sungai tu panjang.

Tapi kalau bawa family boleh sewa pondok rehat ni. Ada beberapa jenis berbeza mengikut saiz dan harga. Kalau besar camni dalam RM60 sehari tak silap. Range harga dari RM40-80 je aritu penjual burger bagitau. Atas bawah boleh digunakan.

Satu lagi kawasan berehat untuk disewa. Tuan rumah sewa tu berhadapan je dengan sungai ni. Kalau tak guna pondok dia boleh je bawa tikar untuk duduk2 di kawasan ni.

Jambatan.

Aku rendam kaki je sebab sejuk nak mandi. Lagipun fobia dengan cerita orang yang kena kencing tikus masa mandi kat Sungai Congkak, Hulu Langat tu.

Selepas puas dating basahkan kaki kat air dan makan burger pastu kitorang jalan2 kat area kampung di kawasan sekitar. Janda Baik ni takdelah besar sangat. Rasanya takkan sesat kot kalau jalan pusing2 ni.

Cuma rumah antara penduduk kampung tu agak jarak dan ada melalui kawasan hutan. 

Ni salah satu rumah kampung. Rasa tenang je duduk sini dengan suasana yang damai.

Salah satu laluan di sepanjang kampung yang aku masuk ni. Akupun tak tahu apa nama kampung ni. Tapi sebelah buluh tu ada lagi sungai. Tapi sunyi sangat mandi kat situ takde orang.

Pondok tinggal.
Nampak rumah ni teringat zaman membesar kecil2 dahulu. Mak bakar sampah pastu kitorang adik beradik main lari-lari keliling rumah. 
Pemandangan pada waktu pagi. Memandangkan tempat ni berada kat atas bukit dan di kawasan Janda Baik yang memang tinggi jadi pagi2 sejuk. Lebih kurang macam pakai aircond pada suhu 19' jenama Toshiba. Sebab lain aircond lain dia punya suhu.

Sudut lain pada waktu pagi. Siap ada orang jogging lagi tu. Kalau bawa kasut dah join aku.

Cot dan aishah yang jadi peneman kitorang. Memandangkan ramai yang datang dari ofis cot berkursus aku takde masa jalan dan borak ngan cot sangat melainkan waktu makan, hehe.  Aqil wife aku pegang.

Pokok belakang bilik kitorang. Akupun tak tahu motif apa aku tangkap gambar ni.



Pemandangan waktu pagi sebelum matahari belum betul2 keluar masa ni. Kalau cuaca camni kat Puchong mesti aku suka nak kuar jogging pagi2, hehe.

Otw balik setelah 2 hari kat sana. Aku tak amik gambar main kolam dan makan.


Secara ringkasnya, Cherangin Hills Resort ni memang sangat sesuai untuk lapangkan fikiran dan berehat-rehat di hujung minggu. Memandangkan kawasannya dekat je lebih kurang 45 minit dari Kuala Lumpur ia kawasan yang sesuai bawa keluarga tanpa terlalu penat dalam perjalanan.

Kalau nak ke sini dari Kuala Lumpur just masuk kat Hentian Genting Sempah dan ada jalan belakang terus je naik ke Janda Baik. Memang jalannya kecil sampai korang tertanya-tanya sesat ke? Tapi sebenarnya terus je. Kalau nak naik dari perkampungan Janda Baik tepi highway tu pun boleh juga.

Jujurnya kat sini memang terlalu banyak resort, rumah tumpangan, homestay dll sampai korang boleh pergi bila-bila masa dan singgah je mana-mana lokasi. Aku kira aritu lebih 50 tempat tinggal dalam kawasan yang kecil sebegitu. Yang takde dalam internetpun banyak bersepah. Tak perlu risau.

Cherangin Hills Convention & Spa Resort ni memang terkenal dengan lokasi kursus geng kerajaan. Sebab masa aku duduk sini ada 2-3 jabatan kerajaan sedang kursus kat sini. Lokasinya menarik, ada tempat permainan, sukan dan sebagainya. Nak buat hari keluargapun boleh:)

Harap membantu sesiapa yang ingin ke Janda Baik, Pahang ni. Terima kasih Cot sudi ajak, lenkali nanti ajak lagi ye, haha.


Wassalam.


UPSR

Bismillahirrahmanirrahim, Sedar tak sedar dah nak masuk bulan ke-10 dalam tahun 2017. Cepatnya masa berlalu. Hari ni hari pertama UPS...