06 January 2014

Cerita Tentang Kematian

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam tempoh seminggu ini ada 2 orang officemate telah kembali kerahmatullah mengadap Illahi. Pertama pada 31 Disember 2013 lepas ketika semua sahabat-sahabat bertungkus lumus menghadapi bulan puncak Disember untuk kutipan dan agihan zakat. Haji Aidi Munawir bin Ahmed Shukri meninggal kerana sakit jantung.

Majlis pengkebumian Haji Aidi Munawir di Seksyen 21,Shah Alam.

En Aidi pernah menjadi bos aku selama beberapa tahun. Beliau seorang yang berpandangan jauh, warak dan tidak pernah meninggikan suaranya. Jasanya kepada perkembangan institusi zakat sangat besar. Beliau antara orang yang bertanggungjawab membuat pengiraan zakat perniagaan di negeri Selangor dan diikuti oleh seluruh negara dan negeri-negeri jiran.

Kemudian semalam 5 Januari 2014, Ustaz Lutfi pula meninggal dunia juga akibat sakit jantung. Kedua-duanya merupakan orang yang aku kenal rapat sepanjang lebih 5 tahun bekerja di Lembaga Zakat Selangor ni.

Majlis pengkebumian Ustaz Lutfi di Kampung Jijan, Sepang

Ustaz Lutfi pula pernah berulang alik pergi-balik kerja dengan aku ketika aku bujang dulu dari Sepang ke Shah Alam hampir setiap hari. Masa tu kitorang naik kereta Abg Rohaizam dan berkumpul di Masjid KLIA. Ustaz Lutfi dari Kampung Jijan dan Abg Rohaizam dari LBJ. Beliau memang selalu bergurau dan kalau bersamanya memang tak kering gusi dibuatnya.

Paling menyedihkan ialah kedua-dua sahabat ofis ini meninggal ketika usia yang masih muda. Kedua-duanya berusia awal 40an dan meninggalkan isteri dan anak-anak yang masih kecil dan bersekolah. Satu kehilangan besar bagi syarikat dan keluarga.


Sahabat sekolah sakit.

Minggu lepas juga aku melawat sahabat masa sekolah menengah dulu di Jenjarom, Banting. Ustaz Ashaari atau aku panggil Ali merupakan Ketua Pengawas dan satu kelas dengan aku ketika tingkatan 5 dulu. 

Beliau baru seminggu didiagnos mengalami buah pinggang rosak dan terpaksa menjalani dialisis seumur hidupnya. AllahuAkbar. Besarnya dugaan untuk beliau sekeluarga. Anak beliau nombor 2 baru sahaja lahir dan berusia 2 bulan. Mudah-mudahan Allah bantu ringankan beban beliau dan luaskan lagi rezeki.

Beliau masih lagi terkejut dan baru cuba nak terima hakikat tersebut. Sebab ia berlaku tiba-tiba dan takde tanda awal. Jadi mentalnya masih down dan perlu sokongan kawan-kawan untuk beri semangat kepada beliau.


Pemeriksaan Kesihatan.

Zaman sekarang ni sakit dan mati tidak mengira usia. Aku cadangkan kita buat full medical check-up atau health screening bagi memastikan kita bebas dari penyakit berbahaya/kronik. Kalaulah selepas pemeriksaan kita didapati ada penyakit, sekurang-kurangnya ia masih diperingkat awal dan boleh diubati insyaallah.

Kalau pergi klinik2 yang ada buat health screening biasanya mereka ada pakej boleh dipilih. Pilih je yang boleh test tanda-tanda kanser, kencing manis, buah pinggan, jantung dan lain-lain. Biasanya dalam lingkungan RM200-500 dan boleh check kebanyakkan penyakit berbahaya dalam badan kita.

Sahabat-sahabat, kalaulah dengan pelaburan RM300 untuk pemeriksaan kesihatan, kita dapat tahu tahap kesihatan kita, bagi aku ia lebih berbaloi dari kita habiskan duit untuk membeli gadget terbaru, beli baju, hiasan rumah, kereta dan sebagainya. Sebab ia boleh menjadi petunjuk awal sama ada kita akan mati awal ataupun sebaliknya. 

Mudah-mudahan Allah berikan kesihatan yang baik kepada kita semua,amin. Wallahua'lam.

Day 8 : Social Media Detox

Bismillahirrahmanirrahim, Ayam Kegemaran Selepas 8 hari tanpa sosial media. Aku masih kena login sosial media ofis sesekala sebab...